Program Penyerahan Daging Korban Secara Pandu Lalu merupakan satu inisiatif proaktif yang dijalankan oleh Amcare Agency dengan kerjasama Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM) dibawah tanggungjawab sosial melalui ‘Program Pengorbanan Dihayati, Rezeki Dikongsi’ bersempena dengan Hari Raya Aidiladha 1442H/2021M.
Program agihan daging korban secara pandu lalu ini merupakan aktiviti yang dilaksanakan secara bersama di antara Amcare Agency dan YBIM untuk mengagihkan hasil daging korban yang disumbangkan oleh seluruh rakyat Malaysia melalui YBIM tempoh hari untuk disumbangkan kepada golongan asnaf. Ia merupakan satu kerjasama murni bagi berkongsi rezeki sesama umat Islam khususnya di Negeri Terengganu.
Pengagihan daging korban ini mensasarkan golongan asnaf dan juga mereka yang kurang berkemampuan di Kuala Terengganu dalam kalangan pemandu teksi, penarik beca, pengawal keselamatan, tukang sapu dan sebagainya.
Ahli Majlis MAIDAM, Dato’ Haji Zahari Harun yang turut hadir di dalam program tersebut menyatakan ucapan penghargaan kepada pihak YBIM dan juga Amcare Agency atas usaha murni yang dijalankan tersebut. Ia dilihat sebagai suatu inisiatif yang baik dalam mengurangkan beban golongan asnaf dan juga mereka yang kurang berkemampuan terutamanya ketika musim pandemik.
Program sebegini diharapkan dapat diteruskan lagi di masa akan datang. Program ini adalah kesinambungan program-program sosial yang telah dijalankan oleh Amcare Agency sebelum ini selaras dengan komitmen agensi untuk melestarikan pembangunan komuniti, sekaligus dapat memberikan impak yang positif kepada masyarakat secara bersasar.