Perniagaan adalah satu hasil usaha yang dikenakan zakat apabila telah cukup syarat-syarat:
Firman Allah S.W.T:
Ibadat itu dikerjakan oleh orang – orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengigati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Mereka takutkan hari kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.
[Surah Al-Nur (24): 37]
Zakat perniagaan hanya dikenakan ke atas aset dan hasil daripada harta orang Islam sahaja. jika sesuatu perniagaan dikongsi maka zakat perniagaan hanya dikira ke atas jumlah yang dipegang oleh orang Islam, lazimnya dalam bentuk peratusan ekuiti.
– Perniagaan yang mempunyai pemilikan bercampur antara Muslim dengan bukan Muslim, hanya bahagian pemilikan dan kepentingan orang islam sahaja yang dikenakan zakat.
– Sempurna Milik. Harta yang dikenakan zakat mestilah ada kesempurnaan dari segi pemilikan (hak milik aset) dan keupayaan mengurus (tasarruf) iaitu mempunyai kuasa penuh ke atas harta.
– Cukup Nisab. Paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan zakat. Nisab adalah bersamaan dengan nilai 85 gram emas semasa.
– Cukup Haul. Genap setahun perniagaan. Penilaian harta perniagaan adalah dengan mengambil kira keadaan perniagaan pada akhir haul.
– Niat Berniaga. Berniat untuk mendapatkan perolehan dan keuntungan. Ia juga perlu dibuktikan dengan amalan. Niat adalah untuk mendapat keuntungan, manakala amalan ialah menjalankan perniagaan. Kedua-dua unsur ini hendaklah wujud bersama secara berterusan.
– Barang Perniagaan dan Perkhidmatan yang Halal. Perniagaan yang halal sahaja yang diwajibkan zakat. Semua bentuk perniagaan yang haram, sama ada dari segi zatnya seperti arak dan khinzir ataupun perniagaan perjudian dan riba adalah tidak diwajibkan zakat.
© 2022 Amcare. Hak Cipta Terpelihara.