Kuliah Maghrib dan Pengajian Agama diteruskan mulai Julai ini
KUALA TERENGGANU, 2 Julai – KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini memberi perkenan berhubung Perluasan Kebenaran Aktiviti Keagamaan di Masjid dan Surau serta Perlaksanaan Ibadah Korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Osman Muda berkata, baginda Sultan telah meneliti dan berkenan agar aktiviti keagamaan dapat ditingkatkan lagi bagi memastikan syiar agama Islam terus gemilang dalam tempoh PKPP ini.
“Baginda rasa bersyukur dengan perkembangan semasa yang mana sehingga kini tiada lagi kes baharu positif Covid-19 di negeri Terengganu. Usaha-usaha membendung wabak ini telah menunjukkan hasil yang baik.
Dato’ Osman berkata, Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu Kali Kedua 2020 yang bersidang pada 28 Jun 2020 telah menetapkan mulai 1 Julai 2020 :
- Membenarkan kuliah atau pengajian agama oleh imam masjid, para Dai’e dan Muallim yang dilantik oleh MAIDAM sahaja selepas solat Maghrib dan ditamatkan apabila masuk waktu Isyak.
- Membenarkan solat sunat.
- Membenarkan solat jenazah.
- Penggunaan ruang selain ruang utama solat untuk ibadah solat seperti beranda masjid.
- Penggunaan tandas dan ruang berwuduk kecuali penggunaan kolah air.
Tambahnya lagi, umat Islam juga dibenarkan mengadakan aktiviti-aktiviti bagi menyambut Hari Raya Aidil Adha yang tiba tidak lama lagi. Umat Islam lelaki dan pemastautin sahaja dibenarkan bersolat sunat Aidil Adha berjemaah di masjid dan surau mengikut keluasan masjid dan surau.
Di samping itu, ibadah korban juga boleh dilakukan oleh umat Islam di negeri Terengganu. Syarat-syarat lanjut berkaitanya boleh dirujuk di laman web MAIDAM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Baginda seterusnya menyeru agar semua rakyat jelata terus bersabar dalam menjalani norma baharu budaya kehidupan disebabkan wabak Covid-19 sehingga vaksinnya ditemui dan berdoa agar kita semua akan bebas daripada wabak ini.
