AMCARE Agency (Ejen Zakat MAIDAM) bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah berjaya menganjurkan Seminar Taksiran Zakat Harta sesi 2021/22 buat pertama kalinya melibatkan 70 orang pemimpin koperasi, pemilik syarikat, peniaga serta kakitangan agensi kerajaan dari seluruh negeri Terengganu.
Seminar ini diadakan pada 18 Oktober 2021 bermula dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang bertempat di Level 9, Camellia Grand Ballroom, Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu.
Majlis yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji M. Rozi Bin Bidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM menekankan kepentingan penganjuran seminar ini untuk memberi kesedaran kepada rakyat Terengganu terutamanya para peniaga, pengusaha serta mereka yang layak untuk menunaikan kewajipan berzakat dengan segera.
Beliau mengingatkan bahawa salah satu kewajiban setiap muslim adalah mengeluarkan zakat yang termasuk salah satu dari lima rukun islam. Zakat mempunyai fungsi sebagai pembersih harta dan jiwa pemberinya. Di samping itu, beliau turut menyatakan perasaan gembira serta mengucapkan tahniah kepada AMCARE Agency selaku penganjur kerana berjaya menganjurkannya.
Seminar ini turut dihadiri oleh tokoh-tokoh dari industri kewangan Islam, perbankan Islam, undang-undang dan bidang lain untuk berkongsi idea mengenai bagaimana meningkatkan pengurusan kutipan zakat di negeri Terengganu.
“Dalam dunia yang bergelut dengan Pandemik Covid 19, pelbagai inovasi dalam kewangan sosial Islam mesti diadaptasi dan diterapkan sesuai dengan keadaan semasa. Hasilnya, seminar ini merupakan platfom yang ideal bagi pengurusan zakat dan pengamal industri untuk mengemukakan cadangan dan penyelesaian yang berkaitan dengan inovasi yang dapat dilaksanakan dalam konteks kewangan sosial Islam, terutama memperkasakan kutipan zakat.”
Selain berkongsi cara kiraan zakat perniagaan, pendapatan, koperasi, pertanian, ternakan, emas, simpanan serta zakat pelaburan, seminar ini juga turut berkongsi hikmah bagaimana berzakat dapat memberi keberkatan sekaligus melindungi harta mereka. Peserta juga diterangkan bagaimana wang hasil zakat mereka diagihkan kepada golongan asnaf yang memerlukan bantuan di negeri Terengganu.
Dua tokoh penceramah jemputan dari Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ) yang pakar dalam pengurusan zakat iaitu Al-fadhil Ustaz Ahmad Adha Ahmad Zohdi membentangkan kertas kerja dengan tajuk “Zakat Pendapatan dan Taksiran” manakala Al-fadhil Ustaz Mohd Yasir Ibrahim membentangkan kertas kerja bertajuk “Zakat Perniagaan dan juga Taksirannya serta Potongan Zakat Bulanan (PZB)”.
Seminar ini telah berjaya mengupas dan menyelesaikan pelbagai persoalan dan permasalahan hasil daripada sesi soal jawab yang mendapat sambutan hangat daripada peserta. Pembentang terakhir, Ustaz Ahmad Ulwan Hassim, Pengurus AMCARE Agency juga telah menyantuni para peserta dengan perkongsian bertajuk “Mudahnya Berzakat bersama AMCARE Agency”.
AMCARE Agency merupakan Ejen Sah Kutipan Zakat MAIDAM yang telah diamanahkan untuk menjalankan pengurusan kutipan zakat secara professional, efektif dan bersistematik serta berkesan sesuai dengan objektif untuk membantu MAIDAM dalam menjadikan zakat sebagai satu pemangkin perekonomian dunia Islam di Negeri Terengganu.
Seminar ini dilihat telah mencapai objektif utama iaitu untuk memberi input yang bernilai dan kesedaran kepada peserta tentang tanggungjawab mereka untuk berzakat serta memberi peluang kepada peserta untuk mendalami modul taksiran zakat harta.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mustafa Abdul Rahman, Penasihat AMCARE Agency di mana majlis diakhiri dengan penyampaian sijil kehadiran kepada semua peserta yang hadir.